FAM Ambil Langkah Besar
MakanBola
FA MALAYSIA

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah yang cukup besar dalam misi menegakkan keadilan yang sewajarnya.

Perkara ini melibatkan siasatan yang bakal dijalankan berhubung isu tujuh pemain warisan Malaysia yang kini sedang menjalani tempoh penggantungan.

FAM yang telah mengemukakan rayuan bagaimanapun mengambil langkah proaktif dengan melantik Jawatankuasa Bebas untuk menyiasat isu yang sedang melanda badan bola sepak negara itu.

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan pelantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif sebagai pengerusi jawatankuasa bebas.

“Hal ini bagi menyiasat isu dokumentasi membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dikenakan penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Perkara ini selaras dengan Pengumuman oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram pada sidang media 17 Oktober lalu berhubung sebuah jawatankuasa bebas akan ditubuhkan.

Ini juga tidak membabitkan mana-mana individu dari FAM bagi memastikan proses siasatan dapat dilaksanakan secara adil, telus dan profesional.

Sebagai rekod, Tun Md Raus memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada tahun 1976, dengan beliau memegang pelbagai jawatan penting termasuk Majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya dan Penasihat Undang-undang bagi negeri Melaka dan Kelantan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

“Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1994 dan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1996.

“Beliau kemudiannya dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan mencapai kemuncak kerjaya kehakimannya apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2017.

Pada peringkat antarabangsa pula, Tun Md Raus memiliki reputasi besar sebagai Presiden Persatuan Mahkamah Perlembagaan Asia dan Institusi Setaraf. 

Beliau juga merupakan ahli aktif Majlis Ketua Hakim Negara ASEAN (CACJ) yang menyumbang kepada wacana dan kerjasama undang-undang serantau.

FAM meletakkan harapan tinggi agar Tun Md Raus bersama-sama ahli jawatankuasa bebas tersebut yang akan dipilih oleh beliau sendiri akan dapat sama-sama menjalankan proses siasatan secara teliti dan menyeluruh sebelum membuat satu rumusan hasil siasatan itu nanti.