Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) komited memperkukuhkan kerjasama dengan jenama sukan antarabangsa, Puma.
Hasrat itu dizahirkan Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi. Ini selepas beliau mengetuai delegasi FAM melakukan kunjungan hormat ke ibu pejabat PUMA Malaysia di Bandar Damansara Perdana, Petaling Jaya.
Yusoff melihat pengukuhan hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua pihak mampu memberi impak positif kepada semua pemegang taruh bola sepak Malaysia terutama Harimau Malaya.
“FAM amat menghargai sokongan dan kepercayaan daripada Puma Malaysia. Kerjasama ini bukan sekadar penajaan pakaian, tetapi satu bentuk perkongsian strategik yang membawa nilai tambah dari segi profesionalisme, imej, dan komersial kepada bola sepak Malaysia.
“FAM juga komited untuk memperluaskan bentuk kolaborasi dengan Puma menerusi aktiviti pemasaran bersama, program pembangunan akar umbi serta inisiatif komuniti bola sepak di seluruh negara,” katanya.
Turut sama menyertai lawatan tersebut ialah Naib Presiden FAM, Dato’ Dollah Salleh dan dua Exco FAM, Dato’ Zainal Abidin Hassan dan Edwin Tan Chee Hong.
Puma merupakan penaja rasmi jersi Harimau Malaya menggantikan Adidas sejak awal tahun 2025.