Selangor Belum Fikir Cari Jurulatih Tetap
MakanBola
Selangor FC

Pengurusan Selangor FC belum terfikir mencari jurulatih tetap baharu menggantikan jurulatih sebelumnya, Katsuhito Kinoshi.

Perkara ini dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon apabila ditanya tentang perkara tersebut.

Beliau memaklumkan pengurusan Selangor berpuas hati dengan prestasi jurulatih interim dari Perancis, Christophe Gamel.

Justeru, keutamaan pengurusan Merah Kuning ialah memastikan bekas jurulatih Sri Pahang FC itu mendapat sokongan diperlukan untuk mengharungi jadual padat pasukan itu.

“Kita memberi sokongan penuh kepada Coach Gamel dalam persiapan pasukan utama dalam setiap perlawanan. Kita tak fikir sangat (pencarian jurulatih tetap baharu).

“Kita berpuas hati dengan proses dan perubahan yang beliau lakukan. Dan kita lihat pemain rata-ratanya mengikuti taktikal yang dibawa Coach Gamel.

“Jadi, pada masa ini, kita memberi ruang dan masa kepada pemain dan jurulatih mengikuti hala tuju yang dibawa Coach Gamel. Jadi, itu fokus kita buat masa ini,” katanya.

Johan ditemui media selepas majlis pemeteraian kerjasama antara Gatorade dan Selangor yang berlangsung hari ini.

Gamel menggalas tugas sebagai jurulatih interim pada akhir September lalu. Ini selepas pengurusan Merah Kuning melepaskan Kinoshi susulan prestasi pasukan yang tidak memuaskan.