Johan Kamal Jawab Kemungkinan Selangor Bawa Balik Pemain Pinjaman
MakanBola
NSFC/SFC

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon menjelaskan kemungkinan pihak kelab memanggi semula pemain yang dipinjamkan ke pasukan lain.

Selangor ketika ini mengharungi jadual cukup padat dengan pelbagai aksi di peringkat domestik dan antarabangsa yang perlu ditempuh dalam masa yang singkat dengan bilangan perlawanan yang banyak.

Jadual yang padat ini membuatkan sesetengah pemain tidak memiliki tempoh pemulihan yang mencukupi selain terdedah kepada risiko kecederaan seperti yang menimpa Sharul Nazeem ketika ini.

Isu kecederaan ini pula membuka peluang dan kemungkinan untuk pihak Selangor FC memanggil semula pemain-pemain yang dipinjamkan bagi mengisi kekosongan dan memperkuat kembali pasukan.

Menurut Johan Kamal, pihak kelab sentiasa memantau rapi perkembangan terkini pemain-pemain ini namun sebarang keputusan hanya akan dibuat sebaik jendela perpindahan dibuka nanti.

”Untuk memanggil pemain-pemain yang dipinjamkan keluar, sudah tentu kita sentiasa memerhati dan memantau prestasi mereka di luar (kelab masing-masing).”

”Cuma sebarang keputusan bagi memanggil kembali pemain ini akan dibuat kemudian kerana jendela perpindahan masih belum dibuka,” jelas Dr Johan Kamal ketika ditemui di Majlis Kerjasama Selangor FC dan Gatorade.

Seandainya khidmat mereka yang dipinjamkan ini ditagih oleh pengendali, Christophe Gamel, beliau dan pihak pengurusan akan bersedia membantu untuk membawa pulang pemain ini demi kebaikan pasukan.

”Jendela perpindahan jika tak silap saya akan dibuka pada 5 Januari, jadi buat masa sekarang ini, kami bakal menilai dan mengikuti perkembangan mereka.”

”Jika Christophe Gamel rasa amat penting untuk membawa mereka kembali, sudah pasti pihak kelab bakal menyokong dan membantu untuk memanggil pemain ini pulang,” tambah beliau.

Antara pemain yang dipinjamkan oleh Selangor adalah Alex Agyarkwa yang kini menyarung jersi Negeri Sembilan selain Safuwan Baharuddin yang beraksi bersama Lion City Sailors di Singapura.