Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala FA 2025-2026 setelah menyingkirkan Penang di peringkat suku akhir pada Selasa.
Kemenangan 3-0 berhasil diraih oleh JDT dalam perlawanan timbal balik ini untuk layak ke separuh akhir dengan agregat 5-1 tatkala perjalanan Penang dalam kempen Piala FA sudah berakhir.
Gandingan Bergson dan Jairo Da Silva mengetuai serangan JDT untuk memburu jaringan manakala tugasan getir untuk Ramadhan Abd Hamid yang diberi peranan selaku penjaga gol Penang.
Tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-38 untuk membolosi gawang Penang menerusi Bergson yang menolak mudah bola muntah hasil percubaan deras Nacho Mendez di sebelah kiri.
Selang 5 minit kemudian, Jonathan Silva menggandakan kelebihan buat pasukan JDT dengan jaringan kedua buat juara bertahan ini selepas menerima umpanan cantik dari rakan sepasukan.
Eddy Israfilov memastikan Harimau Selatan kembali ke bilik persalinan dengan membawa kelebihan cukup selesa hasil gol ke-3 JDT ketika permainan di babak pertama memasuki masa tambahan.
Aksi di Stadium Sultan Ibrahim berakhir dengan keputusan 3-0 memihak JDT sekaligus membawa juara bertahan itu layak ke separuh akhir Piala FA hasil agregat 5-1 dan akan bertemu Kuching City.