FAM Diharap Kongsi Laporan Jawatankuasa Bebas Kepada Umum
MakanBola
FA Malaysia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diharap berkongsi laporan jawatankuasa bebas yang diketuai Tun Md Raus Sharif kepada umum.

Hal ini dinyatakan peguam sukan, Nik Erman Nik Roseli apabila diminta mengulas pembentukan jawatankuasa bebas yang dibuat FAM berhubung isu membabitkan tujuh pemain warisan negara.

Sebelum ini, FAM mengumumkan pembentukan satu jawatankuasa bebas dengan tujuan menyiasat dan memperkukuh aspek tadbir urus dan pentadbiran badan induk itu.

Ini disusuli dengan pengumuman pelantikan Tun Md Raus yang juga bekas Ketua Hakim Negara sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut.

Nik Erman yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Tatatertib FAM merasakan FAM perlu berkongsi laporan jawatankuasa tersebut kepada orang ramai.

Ini kerana dengan langkah tersebut, ini menunjukkan badan induk itu bersikap telus dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.

“Bukan saja skop dari segi salah hantar dokumen tetapi bagaimana perkara ini boleh terjadi di peringkat awal. Bagaimana boleh terlepas pandang hingga perkara ini berlaku.

“Jadi, skopnya besar dan jelas, itu akan membantu kredibiliti jawatankuasa ini. Dan saya juga berharap laporan jawatankuasa ini dikongsikan kepada orang ramai.

“Kerana biasanya laporan-laporan sebegini tidak dikongsikan kepada umum dan saya harap FAM tidak berselindung di sebalik Akta Rahsia atau akta-akta lain,” katanya kepada Nadi Arena.

FAM kini dalam proses rayuan hukuman FIFA membabitkan badan induk itu dan tujuh pemain negara. Keputusan rayuan bakal diketahui pada 30 Oktober ini.