Nizaruddin Yusof Harap Luqman Hakim Terus Diberi Peluang
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Bekas penyerang kebangsaan, Nizaruddin Yusof berharap Luqman Hakim Shamsudin terus diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama Negeri Sembilan FC.

Beliau membuat pandangan tersebut selepas menilai aksi terbaru Luqman bersama Sang Rusa ketika menentang PDRM FC baru-baru ini.

Meskipun belum menemui sentuhan jaringan, bekas penyerang FC Kortrijk itu kerap mencemaskan benteng PDRM bersama penyerang Ghana, Joseph Esso.

Apabila diminta mengulas tentang prestasi Luqman, Nizaruddin melihat Luqman mula menonjolkan potensinya sebagai penyerang.

Justeru, beliau melihat Negeri Sembilan perlu memberi minit permainan yang kerap kepada penyerang berusia 23 tahun itu agar dapat kembali mencapai prestasi terbaik.

“Saya rasa kita semua tahu kebolehan Luqman Hakim. Bagi saya, lagi banyak (Luqman) dapat minit permainan, saya percaya seseorang pemain itu akan lebih meningkat.

“(Beliau) menjadi konsisten dalam setiap perlawanan dan mencipta gerakan serangan jaringan,” katanya semasa menjadi panel Sebelas Utama.

Sejak menyertai Sang Rusa pada Julai lalu, Luqman telah merekodkan lima penampilan termasuk satu aksi Piala FA.