Madame Pang Minta Maaf
MakanBola
Changsuek

Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Madame Pang membuat permohonan maaf kepada Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF).

Permohonan maaf tersebut dibuat susulan insiden kesilapan bendera Vietnam semasa sesi cabutan kumpulan Kejohanan Futsal ASEAN B-19 2025.

Insiden tersebut menjadi bualan ramai peminat futsal kerana bendera yang digunakan untuk mewakili Vietnam ialah bendera China dan bukan bendera sebenar negara itu.

Insiden itu mengakibatkan VFF mengemukakan bantahan kepada FAT dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) atas apa yang berlaku.

Susulan itu, FAT memaklumkan Madame Pang atau nama sebenarnya, Nualphan Lamsam sudah menghantar surat permohonan maaf rasmi kepada Presiden VFF, Tran Quoc Tuan.

FAT turut mengakui kesilapan yang berlaku berpunca daripada penganjur. Lantas, Madame Pang mengarahkan satu jawatankuasa bebas dibentuk untuk menyiasat punca kejadian.

Naib Presiden FAT untuk acara bola sepak pantai dan futsal, Adisak Benjasiriwan juga akan mengetuai delegasi badan induk itu ke Vietnam untuk mengemukakan permohonan maaf kepada VFF.

Kejohanan Futsal ASEAN B-19 2025 menyaksikan tuan rumah dan Vietnam berada dalam Kumpulan A bersama Brunei.

Malaysia pula berada dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Myanmar dan Kemboja. Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir.