Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo terus bergelut memburu kejuaraan untuk kelabnya, Al-Nassr.
Sejak menyertai kelab itu pada Januari 2023, bekas penyerang Manchester United itu sudah terlepas 13 trofi di peringkat domestik dan benua.
Terbaru, Ronaldo terlepas peluang memburu trofi King’s Cup. Ini selepas Al-Nassr disingkirkan Al-Ittihad dalam pusingan 16 pasukan terbaik.
Bekas rakan sepasukan Ronaldo di Real Madrid, Karim Benzema meletakkan Al-Ittihad di hadapan pada minit ke-15.
Angelo kemudiannya menyamakan kedudukan pada minit ke-30. Bekas pemain tengah Olympique Lyon, Hossam Aouar meledakkan gol kemenangan minit akhir babak pertama.
Meskipun Al-Ittihad bermain dengan 10 orang pemain apabila Ahmed Al-Julaydan dibuang padang pada minit ke-49, Al-Nassr gagal memburu gol penyamaan sehingga tamat perlawanan.
Sebelum ini, Ronaldo dan Al-Nassr juga kecewa kerana gagal meraih trofi Saudi Super Cup. Pasukan itu tewas kepada juara Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), Al-Ahli menerusi penentuan sepakan penalti.
Kini, fokus Ronaldo selepas King’s Cup ialah memburu kejuaraan liga dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).