Piala FA: Senarai 4 Pasukan & Jadual Aksi Separuh Akhir
MakanBola
Johor Southern Tigers

Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) antara 4 buah pasukan yang mara ke separuh akhir Piala FA yang dijadualkan berlangsung pada bulan November ini.

Saingan Piala FA kini semakin tiba ke penghujungnya dengan pusingan suku akhir baru sahaja menutup tirai apabila 4 buah kelab berjaya muncul pemenang dan mara ke separuh akhir.

Kuching City menjadi pasukan pertama yang mengesahkan tempat di separuh akhir Piala FA setelah berjaya mengatasi cabaran Terengganu dengan agregat 5-3 meski tewas dalam aksi timbal balik kedua.

Menanti Kuching City nanti adalah pasukan gergasi tanah air, JDT yang menepati ramalan apabila menumbangkan Penang hasil kemenangan 2-1 dan 3-0 dalam kedua-dua perlawanan suku akhir.

Satu lagi wakil Borneo, Sabah mengunci salah satu slot di separuh akhir setelah cemerlang menyingkirkan Kelantan The Real Warrior dengan agregat 5-2 setelah menang di Kota Bharu dan Likas.

Selangor melengkapkan senarai 4 pasukan separuh akhir Piala FA setelah dipaksa berhempas-pulas mengalahkan Negeri Sembilan sebelum akhirnya melakar kemenangan agregat 6-3.

Pusingan separuh akhir Piala FA bakal menemukan Kuching City vs JDT tatkala Sabah vs Selangor dengan aksi pertama dijadualkan berlangsung pada 8 dan 9 November hadapan.

Perlawanan timbal balik kedua di tempat lawan pula akan diadakan pada 29 serta 30 November dengan hanya dua pasukan bakal melayakkan diri ke pentas akhir Piala FA 2025-2026.

Sebarang perubahan pada tarikh separuh akhir Piala FA ini tertakluk kepada pengumuman terkini oleh pihak Malaysian Football League (MFL) dalam masa terdekat untuk makluman peminat.

Musim lalu, JDT dan Selangor berjaya mara ke final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menyaksikan Harimau Selatan muncul selaku juara selepas mencatat kemenangan 6-1.