Sabah FC mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala FA 2025 apabila menewaskan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) dalam aksi suku akhir kedua kejohanan itu.
Kelantan TRW memerlukan kemenangan untuk mengatasi kelebihan agregat 2-1 yang dimiliki Sang Badak. Kelebihan Stadium Likas menjadi Sabah untuk mempertahankan kelebihan mereka.
Stuart Wilkin membuat penampilan ke-100 bersama Sabah. Bekas penyerang PDRM FC, Ifedayo Olusegun terus mengetuai jentera serangan Kelantan TRW FC.
Sabah membuka tirai jaringan pada separuh masa pertama menerusi Jafri Firdaus Chew pada minit ke-10.
11 minit kemudian, giliran Mujagic pula merobek gawang Kelantan TRW yang dikawal penjaga gol Bulgaria, Damyan Damyanov.
Pasukan Pantai Timur itu memastikan keputusan 2-1 dibawa ke rehat separuh masa. Ini selepas pemain pertahanan Filipina, Simen Lyngbo menanduk bola melepasi penjaga gol Sabah, Damien Lim.
Bersambung pada babak kedua, Kelantan TRW membuat dua pertukaran dengan memasukkan Asraf Aliffuddin Yasin dan Abdul Sesay.
Malangnya, pertukaran yang direncana Akmal Rizal Ahmad Rakhli itu gagal membuahkan hasil. Sebaliknya, Sabah meraih gol ketiga menerusi penalti Mujagic pada minit ke-56.
Ini selepas pemain Sabah mendakwa bola terkena tangan Alexander Yeoule dalam kotak penalti. Selepas memeriksa insiden itu di monitor atas nasihat VAR, pengadil memberi penalti kepada tuan rumah.
Kelantan TRW berusaha mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Sabah mara dengan agregat 5-2.
Sabah bakal bertemu sama ada Selangor FC atau Negeri Sembilan FC di peringkat separuh akhir.
Selepas ini, Kelantan TRW akan menentang KL City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 1 November. Sabah pula akan menentang Selangor pada hari sama.