Piala FA: “Negeri Sembilan Keluar Dengan Lebih Berani” – Nidzam Jamil
MakanBola
NSFC

Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Nidzam Jamil menyifatkan anak-anak buah beliau keluar dengan lebih berani bagi aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Rabu.

Nidzam Jamil menyuarakan perkara tersebut selepas pasukan bimbingan beliau berjaya mencatatkan kemenangan bagi aksi suku akhir kedua ini.

Negeri Sembilan berjaya menumpaskan pasukan Selangor dengan keputusan 2-3 bagi aksi kedua suku akhir.

Walaubagaimanapun, Negeri Sembilan terpaksa akur tersingkir dari saingan Piala FA selepas keputusan secara agregat memihak kepada pasukan Selangor 6-3.

Menurut Nidzam Jamil, The Jangs tampil dengan lebih berani bagi aksi kedua suku akhir berbanding perlawanan pertama yang menyebabkan Negeri Sembilan tumpas 0-4.

“Perlawanan kedua ini, kami cuba beberapa pendekatan baharu dengan lebih keberanian dalam permainan. Saya rasa itulah perbezaan utama. Kami tampil lebih berani, mengambil risiko dan cuba memanfaatkannya.”

Tambah beliau, kualiti Selangor tidak dapat dinafikan lagi kerana The Red Giants merupakan finalis Piala FA musim lepas.

“Namun begitu, kualiti pasukan Selangor jelas terserlah. Mereka adalah finalis tahun lalu dan masih menunjukkan prestasi yang sangat tinggi. Selangor sememangnya sebuah pasukan yang sangat kuat,” kata Nidzam Jamil ketika sidang media selepas perlawanan.

Negeri Sembilan bakal meneruskan aksi dalam saingan Liga Super dengan menentang pasukan Brunei DPMM pada 2 November depan di halaman lawan.