Christophe Gamel: Saya Beri Amaran Dari Awal
MakanBola
Selangor FC

Pengendali Selangor FC, Christophe Gamel mengakui terpaksa membuat perubahan pada babak kedua dalam aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Negeri Sembilan FC.

Kelebihan empat gol di Paroi mendorong Gamel menurunkan barisan berbeza untuk aksi kedua di Stadium MBPJ.

Antara pemain yang diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama ialah Quentin Cheng dan bekas penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Willian Lira.

Malangnya, tuan rumah ketinggalan 2-1 sehingga rehat selepas Sang Rusa meledakkan dua gol. Harith Samsuri dan N. Javabilaarivin masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.

Situasi ini mendorong Gamel membuat pertukaran pemain pada separuh masa kedua. Ini termasuk menurunkan kapten dan pemain kebangsaan, Faisal Halim.

Meskipun berjaya menambah gol ketiga menerusi Mio Tsuneyasu, kebangkitan Negeri Sembilan dipadamkan menerusi gol kedua Selangor yang dijaringkan Faisal.

Apabila diminta mengulas tentang keputusan beliau, Gamel mengakui terpaksa berbuat demikian. Ini kerana beliau merasakan pasukannya gagal memberi cabaran kepada Sang Rusa pada separuh masa pertama.

“Saya sudah ingatkan para pemain dari awal. Aksi kedua cukup berbeza, anda perlu memenangi pertarungan untuk memenangi setiap penguasaan bola.

“Kita sudah beri amaran jadi kita ubah ia. Saya terpaksa naikkan sedikit suara dan membuatkan mereka faham bahawa jika mereka mahu capai sesuatu, ia tak boleh dilakukan dengan gerakan mudah.

“Kita tak boleh jadi terlampau baik jadi kita kena ubah mentaliti untuk capai tahap berkenaan,” katanya selepas perlawanan.

Selangor bakal bertemu dengan Sabah FC di peringkat separuh akhir. Sabah mara selepas menyingkirkan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) dengan keputusan agregat 5-2.