Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mula merasai kehilangan tonggak utama pasukan.
Kehilangan 3 tonggak iaitu Hector Hevel, Jon Irazabal serta Joao Figueiredo akibat penggantungan FIFA amat memberi kesan yang besar buat Xisco Munoz dalam merangka plan terbaik untuk JDT.
Ketiga-tiga pemain warisan ini dikenakan hukuman oleh FIFA setelah didakwa mewakili Malaysia secara tidak sah selepas dikatakan berlakunya pemalsuan dokumen sebelum mereka bermain buat Harimau Malaya.
Munoz yang ditemui selepas aksi menentang Penang pada Selasa lalu mengakui merindui kelibat ketiga-tiga pemain ini dan berharap mereka dapat kembali beraksi untuk JDT tak lama lagi.
“Saya amat merindui mereka setiap hari dan saya pasti akan berasa gembira jika mereka masih bersama kami,” luah Xisco Munoz menurut laporan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Ketika ini, status 3 pemain ini masih lagi digantung oleh FIFA bersama 4 lagi tonggak warisan Harimau Malaya iaitu Imanol Machuca, Facundo Garces, Rodrigo Holgado serta Gabriel Palmero.
Perkembangan terkini kes 7 pemain ini sudah pun memasuki fasa rayuan dan keputusan dijangka bakal diketahui pada 30 Oktober (hari ini) sama ada memihak Malaysia atau hukuman dikekalkan.