Azmin Azram Gesa Selangor Temui Rentak Konsisten
MakanBola
Selangor FC

Bekas penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abdul Aziz menggesa Selangor FC segera mencari rentak konsisten untuk musim 2025/26.

Beliau melontarkan pandangan tersebut selepas melihat rekod perlawanan The Red Giants dalam semua kejohanan musim 2025/26 setakat ini.

Selangor dilihat bergelut merekodkan kemenangan melebihi dua aksi berturut-turut dalam semua kejohanan dari Liga Super hingga Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Saingan liga pula menyaksikan The Red Giants sudah tewas tiga daripada tujuh perlawanan yang diharungi setakat ini.

Azmin yang pernah mewakili Selangor dari 2000 hingga 2003 menyifatkan situasi ini perlu diubah anak buah Christophe Gamel untuk kembali cemerlang musim ini.

“Kita perlu lihat kejohanan yang disertai Selangor pada musim ini. Dia ada ACL2, dia ada Shopee Cup, dia ada Piala FA pada malam ini (semalam) dan liga.

“(Selangor) sangat perlukan konsistensi yang berpanjangan, itu bukan satu perkara mudah. Itu memerlukan komitmen daripada semua (pemain), satu skuad lebih-lebih lagi bagi pasukan (staf sokongan) di belakang (pasukan).

“Bagaimana nak dekati para pemain untuk kenal pasti masalah kecederaan individu dan sebagainya,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.

Selangor mara ke peringkat separuh akhir Piala FA meskipun tewas 3-2 di tangan Negeri Sembilan FC. Ini kerana The Red Giants menang dengan keputusan agregat 6-3.

Selangor kini mengalihkan fokus kepada aksi liga menentang Sabah FC pada 1 November ini.