Isu pemain warisan Harimau Malaya dilaporkan telah sampai ke pengetahuan pihak berkuasa Brazil.
Free Malaysia Today melaporkan aduan tentang isu tersebut dibuat Setiausaha Parti Urimai, Satees Muniandy menerusi satu e-mel yang dihantar ke pihak berkuasa Brazil.
Aduan itu dibuat beliau bagi mengetahui status sebenar penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Joao Figueiredo.
“Saya memohon perhatian segera dan kerjasama pihak anda menyiasat serta mendakwa kesalahan ini di bawah kerangka undang-undang negara anda,” katanya dalam e-mel berkenaan.
Dokumen digital berasingan daripada pihak berkuasa Brazil menyatakan aduan Satees telah diterima pada 29 Oktober di bawah sistem ombudsman Fala.BR.
Tarikh akhir maklum balas berhubung aduan itu telah ditetapkan pada 28 November ini.
Selain Brazil, Satees turut mengemukakan aduan sama kepada pihak berkuasa Argentina, Sepanyol dan Belanda.
FIFA menjatuhkan hukuman denda 350,000 franc (RM1.8 juta) kepada FAM dan 2,000 franc (RM10,000) kepada tujuh pemain termasuk Figueiredo. Mereka turut dikenakan penggantungan 12 bulan.
FAM dan tujuh pemain negara telah mengemukakan rayuan kepada FIFA berhubung hukuman tersebut.