Bekas pemain pertahanan Liverpool, Stephen Warnock percaya memori mendiang Diogo Jota dilihat menyumbang kepada prestasi tidak menentu pasukan itu.
Bekas pemain The Reds itu membuat pandangan itu apabila diminta mengulas prestasi tidak menentu juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu itu.
Warnock percaya pemergian Jota pada 3 Julai lalu memberi kesan besar kepada bilik persalinan Liverpool.
Ini kerana pada hematnya, barisan pemain The Reds dilihat masih dihantui memori bintang Portugal itu yang beraksi di Anfield selama lima musim.
“Anda mendapat satu pasukan yang berkabung dalam bilik persalinan. Bagaimana pemain-pemain baru diintegrasikan dalam situasi ini?
“Ia satu situasi yang buruk. Ia sudah tentu akan memberi kesan. Mereka pun manusia biasa,” katanya seperti dilaporkan BBC Football.
Warnock juga sedar memori bekas bintang Wolves itu turut mengganggu rentak permainan anak buah Arne Slot itu.
“Satu perkara saya perasan setiap kali saya datang ke Anfield atau lihat Liverpool bermain ialah lagu Diogo Jota akan dimainkan selepas minit ke-20. Lepas itu, akan ada tempoh lima hingga 10 minit di mana tempo pasukan jatuh mendadak.
“Pemain-pemain mendengar lagu ini dan minda akan menerawang ke memori mereka bersama rakan dan teman rapat mereka.
“Dalam bilik persalinan, lokarnya masih ada. Jadi, anda duduk dengan peringatan berterusan tentang orang yang anda sayangi hilang dan itu bukan mudah,” ujarnya.
Malah, kapten Liverpool, Virgil van Dijk mengakui kelab itu masih berkabung dengan pemergian Jota.
“Tiada siapa kata ia akan menjadi mudah. Prestasi pasukan akan sentiasa turun dan naik atas pelbagai sebab yang kita tidak patut lupakan.
“Apa yang kita boleh ialah kekal bersama (sebagai satu pasukan),” katanya selepas aksi Chelsea-Liverpool pada 4 Oktober lalu.
Liverpool kini telah tewas enam daripada tujuh aksi terakhir mereka. Ini termasuk kekalahan 3-0 di tangan Crystal Palace dalam saingan Carabao Cup.
Selepas ini, The Reds akan menentang Aston Villa pada 2 November ini.