Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menundukkan pasukan Terengganu dengan keputusan 0-5 dalam aksi minggu ke-9 Liga Super musim ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.
Pasukan Terengganu membariskan Syed Nasrulhaq di benteng terakhir dan Careca sebagai ayam tambatan manakala Shahrul Nizam menggalas lilitan kapten.
Sementara itu, JDT menurunkan Syihan Hazmi di bahagian penjaga gol dan Bergson mengemudi jentera serangan pasukan Harimau Selatan.
Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan perlawanan pada minit ke 5′ menerusi penyerang berbisa pasukan tersebut, Bergson da Silva.
JDT terus meningkatkan serangan untuk mencari gol tambahan bagi menjarakkan kedudukan dengan pasukan Penyu.
Terengganu turut melakukan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang JDT menerusi Careca dan Akhyar Rashid namun segala percubaan pasukan tuan rumah tersasar.
Harimau Selatan berjaya meledak gol kedua perlawanan hasil rembatan mudah oleh Romel Morales dalam kawasan kotak penalti pada minit ke 31′ sekaligus menjarakkan kedudukan dengan dua jaringan.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan pada 10 minit terakhir aksi namun tiada tambahan gol dapat disajikan.
Aksi separuh masa pertama tamat dengan keputusan 0-2 memihak kepada pasukan pelawat, JDT.
Bersambung babak kedua, JDT terus meningkatkan intensiti aksi bagi memperoleh gol seterusnya dalam aksi ini.
JDT melakukan pertukaran dengan mengeluarkan Romel Morales & Ager Aketxe dan memasukkan Jairo da Silva & Natxo Insa pada minit ke 60′.
Jairo berjaya meledak gol ke-3 Harimau Selatan pada minit ke 64′ sejurus 4 minit selepas dimasukkan.
Jairo sekali lagi merobek gawang pasukan Terengganu pada minit ke 71′ bagi memastikan Harimau Selatan berada di hadapan dengan 4 gol.
Beliau terus membuktikan kredibiliti sebagai penyerang pasukan JDT dengan meledak hatrik perlawanan pada minit ke 77′ aksi.
JDT terus menerus mengasak kubu pasukan tuan rumah, Terengganu meskipun sudah berada di hadapan dengan jumlah jaringan besar dalam 15 minit terakhir perlawanan.
Perlawanan tamat dengan keputusan 0-5 memihak kepada pasukan pelawat, Johor Darul Ta’zim (JDT).
JDT bakal meneruskan aksi Liga Super musim ini dengan menentang pasukan Melaka di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 November depan.
Sementara itu, Terengganu bakal bertemu Negeri Sembilan pada 22 November depan di halaman lawan.