Tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Harimau Malaya, Jon Irazabal memuat naik sebuah hantaran mengenai kehidupan semasa beliau.
Nama Jon Irazabal antara 7 orang pemain warisan yang kini digantung oleh FIFA setelah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) didakwa memalsukan dokumen untuk membolehkan mereka mewakili negara.
Semenjak itu, Jon Irazabal tidak dibenarkan terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak bersama pasukan kebangsaan dan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) sehingga siasatan dan proses rayuan selesai.
Hal ini menyaksikan pertahanan berusia 28 tahun ini sudah terlepas beberapa perlawanan penting bersama JDT serta Harimau Malaya termasuklah pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027 lalu bertemu Laos.
Kini, menerusi catatan di laman Instastory, Irazabal memuat naik klip video berada di sebuah gimnasium yang dipercayai di Malaysia setelah terdapat papan tanda ‘keluar’ di salah satu pintu.
Perkongsian semasa oleh Irazabal ini dianggap positif apabila beliau masih kekal aktif dan cergas dengan meneruskan rutin harian di gimnasium walau sedang menjalani penggantungan sementara daripada aksi kompetitif.

Malah, peminat turut dapat mengikuti perkembangan baharu Jon Irazabal selepas kesemua 7 pemain yang terlibat memilih untuk berdiam diri semenjak hari pertama kes membabitkan FIFA ini tercetus.
Nasib Jon Irazabal beserta 6 lagi pemain warisan kini masih menjadi tanda tanya selepas FIFA masih belum memberikan sebarang maklum balas mahupun keputusan tentang rayuan yang dibuat oleh FAM.