Pengendali Terengganu FC, Badrul Afzan Razali mengakui kecewa kerana pasukannya terlalu menghormati Johor Darul Ta’zim (JDT).
Hal ini dilihat menyumbang kekalahan 5-0 di tangan pelawat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 31 Oktober lalu.
Bergson da Silva, Romel Morales dan Jairo da Silva masing-masing mencetak nama sebagai penjaring buat skuad Harimau Selatan.
“Saya kecewalah dengan aksi malam ini. Orang cakap terlalu hormat kepada JDT sehingga menyebabkan kita dibolosi lima jaringan.
“Jadi, apa pun, keputusan kena terima. Walaupun saya sudah pesan kepada pemain bila berdepan JDT tiada ruang untuk melakukan kesilapan, benda ini berlaku terlalu cepat.
“Pemain-pemain seolah-olah hilang fokus dan tak tersusun pada separuh masa pertama dan kedua,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.
Kekalahan ini menyaksikan Peteh kekal di tangga keempat dengan 13 mata, 14 mata di belakang JDT.
Selepas ini, Terengganu mengalihkan fokus kepada aksi menentang Negeri Sembilan FC yang akan berlangsung pada 22 November ini.