Lionel Messi dilaporkan mahu kembali ke Barcelona bukan sebagai pemain tetapi sebagai figura yang menentang presiden kelab itu, Joan Laporta.
Portal The Touchline melaporkan Messi mahu berbuat demikian menjelang pemilihan presiden kelab itu yang akan berlangsung pada 2026.
Legenda Argentina itu dilaporkan mahu menyingkirkan Laporta kerana tidak berpuas hati dengan layanan yang diterimanya pada musim terakhir beliau di Camp Nou.
Musim 2020/2021 menyaksikan figura berusia 63 tahun itu bukan sekali berjanji memperbaharui kontrak Messi tetapi gagal direalisasikan pada akhir musim tersebut. Tindakan beliau menyebabkan bintang Inter Miami itu melabel Laporta sebagai pengkhianat.
Meskipun Barca menunjukkan prestasi baik di bawah bimbingan jurulatih Jerman, Hansi Flick, kedudukan kewangan kelab masih lagi belum berada pada tahap memuaskan.
Selain itu, isu membabitkan pengubahsuaian Camp Nou juga menyebabkan Barcelona beberapa kali terpaksa menangguhkan kepulangan ke stadium keramat mereka itu.
Hal ini mendorong beberapa kumpulan anti-Laporta muncul dengan niat menyingkirkannya dalam pemilihan presiden Barca seterusnya.
Meskipun begitu, Messi tidak akan sewenang-wenangnya menyokong calon anti-Laporta yang bertanding.
Beliau hanya akan menyatakan sokongan kepada calon pilihannya sekiranya mereka memiliki peluang cerah memenangi pemilihan tersebut.