Pengendali Selangor FC, Christophe Gamel mengakui lega melihat pasukan itu mencuri tiga mata penuh di Stadium Likas.
Ini kerana pada hematnya, bukan mudah buat mana-mana pasukan termasuk Selangor menentang Sabah FC di gelanggang keramat mereka itu.
“Kita berdepan satu pasukan yang baik pada hari ini (semalam). Bukan mudah untuk datang ke sini (Stadium Likas) dan mendapatkan mata,” katanya selepas perlawanan.
Tuan rumah pada awalnya mendahului menerusi penyerang Malaysia B-23, Fergus Tierney. Pemain sayap Cape Verde, Alvin Fortes meledakkan gol penyamaan sebelum rehat separuh masa.
Pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim muncul wira buat Selangor dengan meledakkan gol kemenangan pada separuh masa kedua.
Sabah turut bernasib malang apabila mengakhiri perlawanan dengan 10 orang pemain. Ini selepas Ajdin Mujagic dilayangkan kad kuning kedua kerana didapati menolak bola dengan tangan.
Gamel turut mendedahkan Selangor turut kehilangan seorang pemain akibat kecederaan dalam aksi sama. Beliau melihat jadual padat sebagai cabaran utama buat anak buahnya.
“Kami hilang seorang lagi pemain (akibat kecederaan) pada malam ini. Dan jadual perlawanan yang padat memberi cabaran besar kepada kami,” ujarnya.
Sebelum ini, Selangor terpaksa melupakan khidmat Sharul Nazeem Zulpakar akibat kecederaan ACL. Kecederaan tersebut menyebabkan beliau terpaksa melupakan baki kempen musim 2025/26.
Selepas ini, Merah Kuning akan menentang Persib Bandung untuk aksi keempat Kumpulan G ACL2 pada 6 November. Ini disusuli aksi separuh akhir Piala FA menentang Sabah tiga hari selepas itu.