Johan Ghazali: Penonton Bukannya Tak Ada Otak
UltraSukan
Johan Ghazali

Jaguh Muay Thai Malaysia, Johan Ghazali mengingatkan penganjur Warzone World Championship (WWC) bahawa peminat sukan tempur lebih bijak dan tidak berminat dengan gimik murahan.

Komen itu dibuat beliau susulan beberapa video insiden yang tular ketika sidang media pertandingan tersebut baru-baru ini.

Antara insiden yang tular di media sosial ialah kelibat kanak-kanak melakukan aksi-aksi bak jaguh tempur dalam sidang media kejohanan itu.

Insiden-insiden ini bukan saja menjadi bualan hangat dalam kalangan pengguna media sosial. Malah, ia turut mengundang kecaman ramai figura terkenal termasuk Johan.

Johan yang mesra disapa Jojo menyifatkan insiden sebegini bukan saja memberi kesan negatif kepada komuniti sukan tempur Malaysia.

Malah, jaguh ONE Championship itu bimbang video-video gimik tersebut memberi contoh buruk kepada generasi muda terutama kanak-kanak.

Hal ini dibangkitkan beliau menerusi satu komen yang ditinggalkan di laman Instagram pempengaruh terkenal, Yusuf Azmi.

“Tolonglah pak cik, penonton bukannya tiada otak nak percaya dengan gimik sampah ini. Pak cik ini paling alim, tapi pak cik tak rasa budak budak yang tengok video macam ini takkan terpengaruhkah?

“Lagi-lagi dengan kes-kes (buli) yang berlaku di Malaysia sekarang ni. Berikan solusi dan bukannya tambah masalah.

“Lihat gambaran yang lebih besarlah, pak cik. Jangan fikir nak duit cepat sahaja,” katanya di ruang komen.

Susulan apa yang berlaku, Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh memaklumkan penganjuran WWC tidak mendapat kebenaran kementerian itu.

Ini kerana sebarang kejohanan yang membabitkan penyertaan peserta antarabangsa perlu mendapat kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).