DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johot menegur sikap segelintir peminat bola sepak tempatan yang dilihat bersikap hipokrit terhadap tindakan dan keputusan yang dibuat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sosial, baginda menegur sikap segelintir peminat bola sepak tempatan yang dianggap hipokrit dalam menilai tindakan FIFA terhadap negara haram dan pemain Malaysia sendiri.
“Apabila FIFA tidak menggantung (mengharamkan) Israel, semua orang bising dan mengutuk FIFA pelbagai cara. Namun apabila FIFA menggantung pemain Malaysia, kamu pula memuji dan mengagungkan FIFA. Inilah contoh terbaik sifat hipokrasi.”
Teguran itu hadir selepas keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan yang dikemukakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung penggantungan tujuh pemain warisan Malaysia yang didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA. Hukuman tersebut kini kekal berkuat kuasa dan kes berkenaan telah dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) untuk tindakan lanjut.
Tujuh pemain yang digantung ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Héctor Alejandro Hevel Serrano. FAM turut dikenakan denda CHF350,000 (sekitar RM1.9 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 serta digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Menurut FIFA, hukuman tersebut dibuat selepas siasatan mendapati FAM dan pemain terbabit melanggar peraturan berkaitan kesahihan dokumen pendaftaran antarabangsa. Namun, Tunku Ismail berpendapat bahawa keputusan itu bercanggah dengan Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang hanya memperuntukkan hukuman terhadap individu yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu, sesuatu yang menurut baginda tidak berlaku dalam kes ini.
Tunku Ismail juga menyentuh mengenai sikap segelintir penyokong yang bersikap dua wajah dalam menilai tindakan FIFA. Baginda menyatakan bahawa ketika FIFA enggan menggantung negara haram, ramai peminat tampil mengutuk badan induk itu kerana dianggap tidak adil dan bersikap pilih kasih. Namun apabila FIFA menggantung pemain Malaysia, ramai pula yang mengagungkan keputusan FIFA seolah-olah ia tindakan yang wajar dan tidak boleh dipersoalkan.
Kenyataan Tunku Ismail itu dilihat sebagai teguran terhadap mentaliti sebahagian peminat bola sepak Malaysia yang menurut baginda cepat menghukum dan menyokong mengikut sentimen, bukan berdasarkan prinsip keadilan atau kefahaman terhadap undang-undang.
Kes penggantungan tujuh pemain warisan ini kini berada di bawah semakan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), dan FAM dijangka terus memperjuangkan pembelaan terhadap pemain-pemain berkenaan. Isu ini bukan sahaja memberi kesan besar kepada reputasi FAM, tetapi juga kepada perancangan skuad kebangsaan menjelang kempen kelayakan utama tahun depan.