ACLE: Buriram United Malukan Shanghai Port
MakanBola
Buriram United

Buriram United memastikan Shanghai Port kekal di tangga tercorot Liga Timur ACLE dengan meraih kemenangan 1-0 di Stadium Buriram.

Shanghai perlu menang sekiranya mahu menghidupkan peluang berada dalam kelompok lapan pasukan teratas ACLE. Buriram pula mahu meneruskan rentak cemerlang di bawah jurulatih baru, Mark Jackson.

Oscar Melendo menjadi taruhan jurulatih Shanghai, Kevin Muscat. Guilherme Bissoli dan Supachai Chaided menjadi sandaran gol Jackson.

Buriram yang berstatus juara bertahan Thai League 1 ceria apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi Supachai.

Penyerang Thailand itu tenang melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol pelawat, Yan Junling.

Tersentak, Shanghai cuba bangkit memburu gol penyamaan menerusi Melendo dan Li Shenglong tetapi tidak berhasil.

Kekentalan pertahanan Buriram diketuai kapten, Kenny Dougall memastikan pasukan itu kekal mendahului 1-0 sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Muscat membuat dua pertukaran dengan memasukkan Xu Xin dan Lu Wenjun.

Malangnya, pertukaran yang direncana bekas jurulatih Yokohama F. Marinos itu tidak membuahkan hasil. Sebaliknya, giliran Buriram menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-65.

Bekas bek tengah Newcastle United, Curtis Good mudah menewaskan Junling menerusi percubaan dari jarak dekat.

Shanghai berusaha mengurangkan defisit jaringan tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Buriram kini di tangga kelima dengan enam mata.

Shanghai pula kekal di tangga tercorot dengan satu mata. Sofascore memilih Supachai sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.0.

Selepas ini, Buriram akan menentang Chonburi pada 9 November. Shanghai pula akan menutup musim 2025 Chinese Super League (CSL) berpotensi bergelar juara bila menentang Dalian Zhixing pada 22 November.