Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi mengakui terkejut apabila rayuan badan induk itu ditolak FIFA.
Beliau membuat pandangan itu apabila diminta mengulas keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA yang menolak rayuan FAM dan tujuh pemain negara.
Pada hemat Yusoff, kebiasaannya, rayuan dibuat dengan tujuan mengurangkan hukuman yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA.
Namun begitu, keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA untuk mengekalkan hukuman yang diterima FAM dan tujuh pemain negara itu cukup mengejutkan bagi beliau.
Ini sekaligus menjelaskan maksud ayat terkejut yang dinyatakan dalam kenyataaan beliau pada 3 November lalu.
“Biasanya bila kita membuat rayuan ini, kita mengharapkan rayuan itu memihak kepada kita. Kalau tak sepenuhnya, mungkin sedikit pengurangan daripada hukuman asal.
“Jadi, perkataan terkejut itu ialah kita sudah buat rayuan dan mengharapkan selepas itu, ada kelebihan untuk kita.
“Ayat terkejut itu lebih menunjukkan perasaan hampa atau kecewa. Sebab rayuan kita tiada kesan di peringkat FIFA,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
FAM dan tujuh pemain kini mahu membawa rayuan mereka ke peringkat Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).