Ong Kim Swee Nafi Dirisik Terengganu
MakanBola
Persik Kediri

Pengendali Persik Kediri, Datuk Ong Kim Swee menafikan beliau dirisik Terengganu FC untuk menjadi jurulatih baharu pasukan itu.

Bekas jurulatih Harimau Malaya itu berkata demikian apabila ditanya tentang ura-ura yang mengaitkan beliau dengan pasukan Pantai Timur itu.

Kim Swee memaklumkan ini kali pertama beliau mengetahui tentang khabar tersebut. Pada masa sama, beliau memaklumkan sekiranya situasi ini berlaku, beliau perlu memberitahu pengurusan Persik terlebih dahulu.

“Belum, tiada apa-apa komunikasi (dengan pengurusan Terengganu). Ini kali pertama saya dengar ini,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

“Belum ada komunikasi antara saya atau mana-mana pihak. Sekalipun saya ingin menerima tawaran mana-mana pihak atau berkomunikasi, saya harus mendapatkan kebenaran daripada kelab saya.

“Saya tak boleh melanggar peraturan sebab di sini saya ada tanggungjawab. Apabila saya berkomunikasi dengan kelab lain tanpa pengetahuan kelab yang saya latih, itu akan menimbulkan satu situasi yang tidak bagus.”

Kedudukan jurulatih Terengganu, Badrul Afzan Razali dilihat terumbang-ambing susulan prestasi kurang memberangsangkan pasukan itu sejak kebelakangan ini.

Prestasi beliau akan dinilai semula pengurusan Peteh selepas tiga aksi. Tiga aksi itu ialah aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Kuching City FC, aksi liga menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan aksi liga menentang Negeri Sembilan FC.

Justeru, aksi menentang Sang Rusa pada 22 November dilihat penentu tentang kedudukan Badrul bersama Terengganu.