Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil kira statut FIFA berhubung kerjasama dengan jawatankuasa bebas FAM.
Hal ini ditekankan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerusi satu kenyataan di platform rasmi beliau baru-baru ini.
Kerajaan perlu berhati-hati dari segi aspek ini kerana tidak mahu dituduh campur tangan dalam hal ehwal FAM. Jika perkara itu berlaku, itu akan menyebabkan badan induk bola sepak negara itu digantung.
“Kerajaan perlu berhati-hati kerana sebarang bentuk campur tangan boleh menyebabkan FAM digantung oleh FIFA.
“Penggantungan seperti itu bukan sahaja memberi kesan kepada pasukan kebangsaan utama, tetapi turut melibatkan semua pasukan bawah umur serta pihak lain seperti Malaysian Football League (MFL), Amateur Football League (AFL) dan kelab-kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia.
“Tindakan ini akan menjejaskan keseluruhan ekosistem bola sepak tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Hannah turut memetik beberapa negara sebagai contoh seperti Indonesia dan Zimbabwe. Ini jelas menunjukkan FIFA mengambil berat statut 15 (c) yang menjamin kebebasan ahli gabungannya.
“Dalam sejarah bola sepak antarabangsa, beberapa negara telah berdepan tindakan penggantungan oleh FIFA akibat campur tangan kerajaan,” ujarnya.
“Antaranya termasuk Indonesia (2015) yang digantung selama setahun selepas Kementerian Pemuda dan Olahraga Republik Indonesia membekukan persekutuan bola sepak negara itu; Zimbabwe (2022) selepas badan dilantik kerajaan mengambil alih pentadbiran persekutuan bola sepak negara; Chad (2021) apabila kerajaan menubuhkan pasukan khas untuk menguruskan bola sepak negara; serta Benin (2015) dan Brunei (2009) yang turut digantung kerana keputusan mahkamah dan kerajaan masing-masing mencampuri urusan pentadbiran persatuan bola sepak.
“Kesemua contoh ini menunjukkan bahawa FIFA tegas dalam menegakkan Statut 15(c) yang menetapkan setiap persatuan bola sepak mesti bebas daripada sebarang bentuk campur tangan politik atau kerajaan. Prinsip ini menjadi asas kepada keanggotaan mana-mana negara di bawah FIFA.”
Jawatankuasa bebas FAM ditubuhkan bagi menyiasat punca yang membawa kepada hukuman FIFA ke atas badan induk itu dan tujuh pemain negara.
Selain itu, jawatankuasa yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif itu bertujuan memperkukuh pentadbiran dan tadbir urus FAM. Hasil siasatan bakal diketahui dalam tempoh enam minggu.