“Pemain No.42 JDT Ubah Segalanya” – Jurulatih Shanghai Shenhua
MakanBola
Johor Southern Tigers

Aksi cemerlang pemain berjersi nombor 42 JDT, Arif Aiman telah mendapat pujian jurulatih Shanghai Shenhua selepas perlawanan AFC Champions League Elite (ACLE) pada Rabu.

JDT turun melayani kunjugan Shanghai Shenhua dalam aksi minggu ke-4 ACLE di Stadium Sultan Ibrahim dengan skuad Harimau Selatan ini membawa misi bagi mengutip 3 mata di laman sendiri.

Misi besar tersebut berjaya dicapai hasil dua jaringan oleh Jonathan Silva manakala Oscar Arribas turut mencatatkan nama selaku penjaring bagi membantu JDT atasi Shanghai Shenhua 3-1.

Di sebalik nama Jonathan Silva dan Oscar Arribas, ternyata kelibat Arif Aiman Hanapi turut meraih tumpuan dengan dua ‘assists’ yang dilakukan ketika jaringan Jonathan Silva pada minit ke-48 dan 88.

Persembahan cemerlang Arif Aiman itu juga menerima pujian hebat oleh jurulatih Shanghai Shenhua, Leonid Slutsky yang melihat kelibat pemain berusia 23 tahun itu menjadi pemisah kedua-dua pasukan.

“Bagi saya, ini bukan tentang (kami) kehilangan fokus kerana sebenarnya pemain nombor 42 itu (Arif Aiman), saya rasa dia mungkin pemain paling berkemahiran dalam ACLE. Dia yang mengubah segala-galanya,” luah Leonid Slutsky.

“Dia sudah pun melakukan perbezaan pada tahun lepas, dan dia lakukannya sekali lagi kali ini. Apabila dia berdepan situasi satu lawan satu, dia tahu cara untuk memanfaatkannya.

“Sudah tentu, ini sangat menyakitkan,” tambah jurulatih itu lagi ketika sesi sidang media selepas perlawanan.

Sungguhpun jaringan yang terhasil berpunca dari kesilapan pemain Shanghai Shenhua sendiri, namun Slutsky percaya Arif Aiman sememangnya bintang yang berbakat sehingga meranapkan impian wakil China itu membawa pulang 3 mata.

“Memang betul, itu adalah satu kesilapan (pemain Shanghai Shenhua), tetapi kita tidak boleh hanya bercakap mengenai kesilapan. Kita juga perlu akui bahawa dia (Arif Aiman) benar-benar pemain yang sangat berbakat.”

Menurut laman Sofascore, Arif Aiman muncul selaki pemain ke-4 dengan penilaian tertinggi dalam perlawanan kali ini, memperoleh markah 7.6 di belakang Jonathan Silva, Oscar Arribas dan Nacho Mendez.