ACL2: Kualiti Padang Resahkan Bojan Hodak
MakanBola
Persib Bandung

Jurulatih Persib Bandung, Bojan Hodak mengakui kurang berpuas hati dengan keadaan padang Stadium MBPJ.

Komen itu dibuat menjelang aksi keempat Kumpulan G ACL2 antara pasukan itu dengan Selangor FC.

Hodak menyifatkan keadaan padang Stadium MBPJ bukan saja buruk. Malah, bekas jurulatih KL City FC itu merasakan padang tersebut tidak memenuhi spesifikasi AFC.

“Mereka (Selangor) bermain di sini. Ia nampak cantik dari luar kerana mereka menyediakannya macam stadium sebenar.

“Tapi apa yang saya lihat di sini, padangnya sangat teruk. Ini satu perkara orang Malaysia tidak faham, benda paling penting bagi sesebuah stadium ialah padang.

“Sebab anda bermain di situ dan bukan benda di sekelilingnya,” katanya dalam sidang media praperlawanan.

Meskipun begitu, Hodak percaya itu bukan halangan buat anak buahnya menyesuaikan diri apabila bertemu dengan Selangor nanti.

“Saya tak fikir begitu kerana di Indonesia, ada padang yang bagus, Macam perlawanan sebelumnya menentang Bali United, mereka ada padang yang bagus.

“Tetapi ada juga padang yang teruk, jadi mereka biasa dengannya. Tapi untuk aksi Liga Juara-Juara, kami jangkakan yang lebih baik,” ujarnya.

Maung Bandung selesa di tangga teratas Kumpulan G dengan tujuh mata. Ini selepas pasukan itu meraih dua kemenangan dan satu keputusan seri.

Persib berharap dapat meraih satu lagi kemenangan untuk mencerahkan peluang mara ke pusingan 16 pasukan terbaik ACL2.