Selangor FC dilaporkan telah memperkuatkan jentera tengah mereka dengan membawa masuk pemain tengah Kosovo, Toni Domgjoni.
Khabar ini mula timbul apabila laman Transfermarkt Domgjoni menyenaraikan Selangor sebagai pasukan baharunya.
Ini disusuli dengan khabar perpindahan pemain tengah berusia 27 tahun itu yang dikongsikan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
“Selangor FC difahamkan berjaya menandatangani pemain import tengah kelahiran Kosovo, Toni Domgjoni bagi memperkuatkan pasukan di pentas ACL 2.
“Pemain berusia 27 tahun itu memiliki empat penampilan bersama skuad kebangsaan Kosovo. Pengumuman rasmi menyusul,” katanya di X.
Domgjoni pernah mewakili beberapa kelab Eropah seperti FC Koper, FC Zurich dan Vitesse Arnhem. Beliau juga pernah beraksi dalam saingan Liga Konferens Europa UEFA pada musim 2021/2022.
Domgjoni mampu beraksi sebagai pemain tengah, pemain tengah menyerang atau pemain tengah bertahan.
Setakat ini, belum ada pengumuman rasmi tentang perpindahan beliau ke pasukan gergasi Lembah Klang itu.