Selangor FC memperkuatkan cabaran mereka di pentas ACL2 dengan merekrut bek tengah Perancis, Mamadou Diarra.
Perpindahan bekas bek tengah Senegal B-20 itu diumumkan pengurusan Selangor FC menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka.
“Selangor FC secara rasmi mengumumkan penandatanganan pemain pertahanan tengah Mamadou Diarra menjelang kempen ACL2,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Selepas perpindahannya disahkan, bek tengah berumur 28 tahun itu teruja dapat menyertai skuad Merah Kuning.
“Secara jujurnya, saya sangat teruja untuk jadi sebahagian daripada kelab ini. Jurulatih ada bercakap dengan saya tentang pasukan dan rancangannya, membuatkan saya lebih bersemangat untuk bersama Gergasi Merah,” katanya.
“Saya yakin jika kita sama-sama bekerja keras sebagai satu pasukan, kita pasti akan capai sasaran kelab.
“Saya akan berikan yang terbaik untuk mengatur dan berikan kata-kata semangat kepada rakan sepasukan dari belakang, di samping menambah karakter yang menarik dalam pasukan.”
Pengendali interim Selangor, Christophe Gamel percaya kehadiran Diarra mampu menambah kekuatan pasukan itu di bahagian pertahanan.
“Kami menandatangani beliau untuk kepimpinan dan pengalaman yang dimilikinya untuk di bawa ke posisi pertahanan. Kehadirannya akan menguatkan dan memperkukuhkan pertahanan pasukan,” katanya.
Selangor berjaya mendaftarkan beliau sebelum tarikh tutup pendaftaran 31 Oktober 2025. Ini memastikan Diarra dapat beraksi di pentas ACL2 tanpa sebarang masalah.
Selain Erbil, beliau pernah mewakili Boluspor, Bursaspor, dan Giresunspor serta kelab Ligue 2, Grenoble Foot 38.
Diarra bukan satu-satunya pemain baharu yang menyertai Selangor. Pemain tengah Kosovo, Toni Domgjoni turut mengesahkan perpindahan ke pasukan gergasi Lembah Klang itu.
Khidmat Diarra ditagih Gamel apabila diturunkan untuk aksi keempat Kumpulan G menentang Persib Bandung hari ini.