Arif Aiman Pintas Rekod Safiq Rahim
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemain sayap kebangsaan, Arif Aiman Hanapi melakar rekod baharu bersama pasukannya, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ini kerana beliau kini memegang rekod sebagai pencipta bantuan gol terbanyak sepanjang zaman JDT dengan 70 bantuan gol.

Arif mengatasi rekod bekas pemain tengah Harimau Malaya, Safiq Rahim yang memegang rekod tersebut dengan 68 gol.

Rekod ini dilakar pemain sayap berusia 23 tahun itu dalam aksi ACLE menentang Shanghai Shenhua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 5 November lalu.

Dua bantuan gol Arif membantu Jonathan Silva meledakkan dua gol dalam perlawanan tersebut. Aksi berkenaan berakhir dengan kemenangan 3-1 buat JDT.

Kelincahan Arif dalam menghasilkan dua bantuan gol tersebut turut mendapat pujian jurulatih Shenhua, Leonid Slutsky.

“Bagi saya, ini bukan tentang (kami) kehilangan fokus kerana sebenarnya pemain nombor 42 itu (Arif Aiman), saya rasa dia mungkin pemain paling berkemahiran dalam ACLE. Dia yang mengubah segala-galanya.

“Dia sudah pun melakukan perbezaan pada tahun lepas, dan dia lakukannya sekali lagi kali ini.

“Apabila dia berdepan situasi satu lawan satu, dia tahu cara untuk memanfaatkannya. Sudah tentu, ini sangat menyakitkan,” katanya.

Bisa Arif bakal ditagih JDT untuk aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang Kuching City FC pada 8 November ini.