Tangisan Sikh Izhan Sentuh Hati Penyokong
MakanBola
Selangor FC

Kelibat penjaga gol Selangor FC, Sikh Izhan Nazrel menangis selepas aksi ACL2 menentang Persib Bandung membuatkan ramai penyokong tersentuh.

Sikh Izhan kecewa kerana kesilapannya pada minit akhir perlawanan membolehkan Adam Alis menjaringkan gol kemenangan buat Persib.

Ini bukan saja membantu Persib meraih kemenangan 3-2. Malah, ini membantu Pangeran Biru merampas kembali tampuk pendahulu Kumpulan G dengan 10 mata.

Selepas tamat perlawanan, Sikh Izhan tidak dapat menahan daripada menitiskan air mata susulan apa yang berlaku.

Keadaan ini mendorong beberapa rakan sepasukan termasuk penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi tampil menenangkan penjaga gol berusia 23 tahun itu.

Jurulatih The Red Giants, Christophe Gamel turut menenangkan dan memeluk Sikh Izhan. Video tersebut dikongsikan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Sebaik video tersebut disiarkan di X, ramai penyokong tersentuh melihat tangisan bekas penjaga gol Malaysia B-23 itu. Justeru, ramai memberi kata semangat kepada Sikh Izhan untuk bangkit.

Salah seorang daripadanya ialah penyokong Persib, Candra Maeki95. Dia menganggap persembahan Sikh Izhan dalam perlawanan itu sangat berkualiti dan beliau harus bangkit daripada kesilapan itu.

“Ayuh, (Sikh Izhan) Nazrel. Kamu penjaga gol hebat, bangkit (daripada kesilapan), ini (adat) permainan.

“Jangan kau sesali, harus kuat. Salam dari Viking Persib,” katanya di X.

Seorang lagi penyokong Persib bernama Ricky Nanda turut senada dengan Candra. Jika tidak kerana kecekapan Sikh Izhan, Persib mungkin meraih kemenangan lebih selesa di Stadium MBPJ.

“Penjaga gol ini (Sikh Izhan) memang hebat, sudah menyelamatkan bola sebanyak lapan kali. Kalau bukan dia sebagai penjaga gol, hasilnya mungkin berbeza,” katanya.

Seorang lagi penyokong bernama Rudy Gunawan menyatakan rasa hormat kepada Sikh Izhan atas prestasi cemerlangnya. “Penghormatan buat penjaga gol Selangor,” katanya.

Sikh Izhan sudah membuat enam penampilan bersama The Red Giants musim ini.