Harimau Malaya memanggil 27 pemain bagi membantu persiapan menentang Nepal.
Senarai 27 pemain ini diumumkan pengurusan skuad kebangsaan menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka.
24 pemain yang dipanggil Peter Cklamovski untuk dua aksi menentang Laos pada Oktober lalu dikekalkan. Antaranya Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Romel Morales.
Bek kanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Matthew Davies kembali tersenarai selepas kembali cergas sepenuhnya. Selain Davies, Cklamovski turut memanggil pemain KL City FC, Ryan Lambert.
Ini menyaksikan Ryan bergandingan dengan kembarnya yang juga pemain The City Boys, Declan dalam kem Harimau Malaya.
Bekas jurulatih FC Tokyo itu turut memanggil seorang lagi pemain Malaysia B-23 iaitu Aliff Izwan Yuslan. Trio yang beraksi di luar negara iaitu Dion Cools, Endrick dos Santos dan Sergio Aguero turut tersenarai.
Skuad negara bakal menjalani latihan pusat bermula dari 10 hingga 17 November ini. Ini sebagai persiapan menghadapi Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 18 November.