Kenyataan Azzuddin Ahmad Banding Isu Gaji & Kes CAS Tak Selari
MakanBola
Astro Arena

Kenyataan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Azzuddin Ahmad baru-baru ini mencetuskan perhatian ramai apabila beliau menyarankan agar lebih baik wang digunakan untuk membayar tunggakan gaji daripada dibelanjakan untuk kes di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Walau bagaimanapun, di sebalik nada sinis tersebut, ramai berpendapat kenyataan beliau itu tidak berpijak pada realiti sebenar bola sepak tempatan ketika ini.

Isu tunggakan gaji pemain sebenarnya terletak di bawah tanggungjawab kelab, bukannya FAM atau mana-mana individu luar. Dalam kes semasa yang membabitkan tindakan undang-undang di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), perbelanjaan itu turut ditanggung sepenuhnya oleh DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor.

Fakta ini jelas menunjukkan bahawa kenyataan tersebut tidak selari dengan situasi sebenar. Malah, ia membuka semula perbincangan tentang masalah lama dalam bola sepak tempatan yang berpunca daripada kelemahan pengurusan kewangan di peringkat kelab.

Menariknya, semasa tempoh beliau menerajui FAM, pernah timbul persoalan mengenai penajaan hak penyiaran Liga Malaysia bernilai RM30 juta setahun daripada Astro yang sepatutnya diagihkan kepada pasukan-pasukan tempatan. Antara yang pernah menyoal perkara itu ialah penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ketika itu, Tan Sri Annuar Musa yang meminta penjelasan ke mana perginya hasil hak penyiaran berkenaan.

Dalam konteks yang lebih besar, isu tunggakan gaji bukanlah perkara baharu dalam bola sepak Malaysia. Ia berpunca daripada kelab yang berbelanja melebihi kemampuan tanpa mengambil kira pendapatan sebenar, sehingga menjejaskan kestabilan dan kepercayaan terhadap pengurusan bola sepak negara.

Masalah ini terus berulang saban musim dan menjadi cerminan kepada kelemahan struktur pengurusan kelab di negara ini. Inilah sebenarnya isu utama yang membelenggu bola sepak Malaysia, dan sepatutnya diberi tumpuan serius sekiranya kita benar-benar mahu melihat perubahan menyeluruh dalam ekosistem sukan ini.

Jika bekas Setiausaha Agung itu benar-benar mahu membantu menyelesaikan masalah tunggakan gaji, seharusnya nasihat beliau ditujukan kepada para pemilik kelab berkenaan kelemahan pengurusan kewangan mereka dan bukannya menuding jari ke arah FAM yang tidak terlibat secara langsung dalam hal tersebut.