Bintang Persib Bandung Nyaris Ditahan Polis
MakanBola
Persib Bandung

Penyerang Persib Bandung, Adam Alis mendedahkan beliau dan beberapa pemain lain nyaris ditahan polis tidak lama selepas aksi ACL2 menentang Selangor FC.

TribunNews melaporkan selepas membantu Persib meraih kemenangan 3-2 di Stadium MBPJ, beberapa pemain termasuk beliau memilih mencari makanan.

Pada ketika itu, Adam disertai Saddil Ramdani, Robi Darwis dan Kakang Rudianto. Selepas selesai makan, mereka hendak kembali ke hotel penginapan Persib.

Malangnya, pada ketika itu mereka tersesat. Tatkala cuba mencari jalan kembali ke hotel, mereka ditahan dua anggota polis yang menunggang motosikal.

Pada awalnya, kumpulan pemain Persib diarah menunjukkan pasport mereka. Selepas Robi mengeluarkan kad pengenalan beliau sebagai anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI), mereka dilepaskan dan diberi layanan baik.

“(Aplikasi) peta Saddil Ramdaninya mati, jadi arahnya tiada tujuan dan lawan arah begitu. Polis ada di situ dan kita diberhentikan,” katanya.

“Dua orang polis menaiki motosikal dan salah seorangnya sudah mengambil gambar plat nombor kereta kita. Dia belum tahu kalau Robi Darwis ini kan tentera sama Kakang (polis).

“Kerana itu, kita keluar dari kereta dan diminta menunjukkan pasport. Kerana kita tak bawa pasport, Robi tunjuk kad anggotanya. Selepas Robi tunjukkan kadnya, mereka terkejut dan beri layanan baik kepada kita.”

Adam menjadi wira dengan meledakkan dua gol buat Persib dalam aksi ACL2 itu. Keputusan itu menyaksikan Persib menerajui Kumpulan G dengan 10 mata.