Pertahanan warisan Harimau Malaya, Gabriel Palmero kini berstatus ejen bebas selepas CD Tenerife menamatkan kontrak beliau.
Pengumuman ini dibuat menerusi sebuah hantaran di laman media sosial CD Tenerife selepas mengambil kira keputusan rayuan FAM yang ditolak oleh FIFA melibatkan dakwaan kes pemalsuan dokumen Gabriel Palmero.
Malah, ini turut melibatkan kontrak pinjaman Gabriel Palmero ke Unionistas de Salamanca CF dan menyaksikan pertahanan kiri warisan Malaysia-Sepanyol ini berstatus ejen bebas tanpa kelab.
”Gabriel Palmero telah ditamatkan kontrak pada 7 November, melibatkan kedua-duanya sekali iaitu perpindahan pinjaman ke Unionistas de Salamanca CF dan ikatan asalnya bersama CD Tenerife,” umum kelab itu.
Manakala Unionistas de Salamanca dalam sebuah kenyataan turut memaklumkan hal yang sama dan berterima kasih buat Gabriel Palmero di atas sumbangan beliau selama 5 bulan di sana.
“Unionistas de Salamanca CF mencapai persetujuan dengan CD Tenerife untuk menamatkan perpindahan pemain Gabriel Palmero, susulan berita yang diterima daripada FIFA pada 25 September dan selepas rayuan yang dikemukakan olehnya ditolak pada 3 November.”
“Unionistas de Salamanca mengucapkan terima kasih di atas sumbangan beserta komitmen yang ditunjukkan oleh Gabriel Palmero sepanjang tempoh bersama pasukan,” umum kelab pinjaman Palmero itu pula.
Palmero dan 6 lagi pemain warisan Malaysia ketika ini sedang digantung oleh FIFA selepas dituduh di dalam kes pemalsuan dokumen bagi membolehkan mereka menyarung jersi skuad negara.
Setakat ini, kes ini difahamkan bakal dibawa ke CAS selepas rayuan yang dihantar oleh FAM sebelum ini ditolak oleh FIFA yang menyaksikan keputusan Malaysia dihukum masih kekal setakat ini.