Velez ‘Tunggu’ CAS, Masih Bayar Gaji Imanol Machuca
MakanBola
Club Atletico Velez Sarsfield

Nasib pemain Harimau Malaya dan Velez Sarsfield, Imanol Machuca masih belum ada kepastian namun kebajikannya tetap terjaga.

Baru-baru ini, FIFA mengekalkan hukuman ke atas 7 pemain warisan Harimau Malaya termasuklah Imanol Machuca yang didakwa terbabit dalam kes pemalsuan dokumen sebelum mewakili Malaysia.

Hukuman itu menyaksikan Imanol Machuca bakal dikenakan penggantungan selama 12 bulan selain denda berupa wang namun kes ini berkemungkinan bakal dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Maka, kesemua 7 pemain ini terpaksa menanti sehingga kes ini selesai dan tidak dibenarkan menyertai sesi latihan kelab manakala pembayaran kebajikan mereka bergantung kepada keputusan kelab.

Menurut laporan Sabado Velez, pihak kelab akan menunggu hingga keputusan muktamad dikeluarkan sebelum membuat penilaian mengenai masa hadapan Imanol Machuca bersama El Fortin.

“Vélez Sarsfield akan menunggu sehingga rayuan terakhir selesai sebelum membuat sebarang keputusan mengenai Imanol Machuca,” lapor Sabado Velez.

“Penyerang tersebut masih berpeluang membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan kelab akan terus mengekalkan sikap menunggu seperti sebelumnya sehingga semua peluang rayuannya berakhir.”

Berkenaan hal kebajikan, Sabado Velez melaporkan bahawa kelab gergasi Argentina itu akan terus membayar gaji Imanol Machuca seperti biasa bagi memastikan tiada isu berbangkit di masa hadapan.

”Sementara itu, kelab akan terus membayar gaji pemain bagi mengelak daripada berdepan masalah masa depan yang tak diingini (pada masa akan datang),” tambah mereka.

Ini sudah pasti menjadi berita yang melegakan untuk Imanol Machuca sementara menanti keputusan penuh ketika mana Rodrigo Holgado dan Gabriel Palmero tidak menerima nasib yang sama.

Holgado ketika ini tidak bergaji dan berdepan kemungkinan ditamatkan kontrak oleh America de Cali sementara Gabriel Palmero pula dilepaskan oleh Unionistas dan kelab asalnya, CD Tenerife minggu lalu.