Pengendali Nepal dari Australia, Matt Ross memutuskan untuk meletak jawatan pada akhir Oktober lalu.
Portal The Kathmandu Post melaporkan perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Seluruh Nepal (ANFA), Kiran Rai pada 30 Oktober lalu.
Beliau memaklumkan jurulatih berusia 47 tahun itu sudah memberitahu ANFA berhubung keputusannya itu melalui WhatsApp.
Susulan itu, ANFA melantik legenda Nepal, Hari Khadka sebagai pengendali interim pasukan menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Malaysia.
Ross sebelum ini dibawa masuk sebagai pengganti jurulatih Itali, Vincenzo Alberto Annesse. Ini selepas Annesse mengundur diri sebagai jurulatih pada Oktober 2024.
Ross pernah menggalas peranan sebagai penolong jurulatih skuad wanita Korea Selatan, jurulatih skuad Al-Qadsiah B-19 dan penolong jurulatih United FC.
Beliau membimbing Nepal mengharungi tujuh perlawanan dengan rekod satu kemenangan, dua seri dan empat kekalahan. Ini termasuk kekalahan 2-0 di tangan Harimau Malaya pada Mac lalu.
Ross kini menggalas tugas sebagai jurulatih baharu Chinese Taipei menggantikan jurulatih sebelumnya, Gary White.