Bergson Impi Bekalan Selesa Buat JDT Di Kuching
MakanBola
Johor Southern Tigers

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva berharap dapat membantu pasukan itu meraih bekalan selesa menjelang aksi menentang Kuching City FC.

Separuh akhir Piala FA menyaksikan JDT selaku juara bertahan bertemu dengan Kuching City. Aksi separuh akhir pertama diadakan di Stadium Negeri, Kuching.

Bergson mengakui aksi ini bukan mudah lebih-lebih lagi dengan Kuching City beraksi di gelanggang sendiri.

Pada masa sama, beliau percaya kemenangan dalam saingan ACLE memberi suntikan semangat kepada Harimau Selatan bila berdepan The Cats.

“Kita telah hadapi minggu yang padat dan mencabar, dengan aksi ACLE dan selepas itu perlu fokus separuh akhir (Piala FA) pula.

“Jadi, kita tidak boleh tertekan dan kena cuba rehat sebaiknya untuk fikir tugas akan datang bagi mendapatkan keputusan lebih baik,” katanya.

Bergson turut mendedahkan JDT sentiasa fokus kepada semua aksi kejohanan dan tidak terhad kepada aksi final sahaja.

Momentum kemenangan yang diraih dalam setiap peringkat perlu diteruskan seiring dengan status JDT selaku juara bertahan.

“Tapi untuk kami di JDT, kita bukan sahaja fikir pasal final, tapi daripada awal lagi kita dah fokus sejak pusingan 16, suku akhir sampailah ke separuh akhir.

“Jadi, kita kena teruskan momentum ini apatah lagi JDT adalah juara bertahan dan perlu lakukan segalanya satu demi satu untuk lebih bersedia dalam setiap aksi,” ujarnya.

Kuching City dan JDT akan berentap di Stadium Negeri, Kuching pada jam 7.30 malam, 9 November.