Bekas penyerang Malaysia B-23, Luqman Hakim Shamsudin mula mempamerkan bisanya bersama Negeri Sembilan FC.
Bekas penyerang KV Kortrijk itu membantu Sang Rusa menewaskan pasukan ke-197 dunia, Timor Leste dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Aksi persahabatan ini bukan saja medan persiapan buat Timor Leste untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Tajikistan.
Malah, Negeri Sembilan turut menggunakan aksi sama untuk memberi minit permainan kepada pemain-pemain yang jarang diturunkan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Sang Rusa menceriakan lebih 2,000 penyokong yang hadir dengan gol pembukaan seawal minit ketujuh menerusi Luqman.
Bekas penyerang Yokohama SCC itu menggandakan kelebihan Negeri Sembilan pada minit ke-31. Alexandro Bakhito merapatkan jurang pelawat pada minit ke-43.
Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol tambahan tetapi tidak berhasil. Pada akhirnya, keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Dua gol ini dijangka menyuntik semangat Luqman untuk memburu gol sulungnya dalam Liga M.
Penyerang berusia 23 tahun itu juga berpeluang menyertai kem Harimau Malaya untuk aksi antarabangsa bulan November.
Ini kerana namanya diletakkan dalam senarai bersedia oleh pengurusan skuad kebangsaan. Ini sebagai persediaan seandainya salah seorang daripada 27 pemain yang dipanggil Peter Cklamovski menarik diri akibat kecederaan atau sebab lain.