Bekas pemain pertahanan Harimau Malaya, Razman Roslan menyifatkan pertahanan longgar Kuching City FC memberi ruang kepada Bergson da Silva merobek gawang mereka.
Razman berpandangan sedemikian apabila mengulas prestasi penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu ketika menentang The Cats untuk aksi separuh akhir pertama Piala FA.
Razman percaya Bergson diberi terlalu banyak ruang oleh bek tengah Kuching City, Rodney Celvin Akwensivie semasa menjaringkan gol pertama.
Ini membuka ruang buat penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super itu melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol kebangsaan, Haziq Nadzli.
“Bagi saya, Rodney Celvin terlalu jauh. Kalau kita lihat, (Bergson) ada banyak masa dan ruang untuk menolak sedikit bola dan mencari ruang yang lebih selesa.
“Apabila kita memberi ruang kepada seorang penyerang yang tajam di depan gol, sudah pasti akan dihukum.
“Kita tahu Bergson akan melakukan percubaan walaupun beliau ada sedikit ruang, beliau akan melakukan rembatan. Dengan ruang sebesar itu, kita tahu jaringan terhasil,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.
Dua gol penyerang Brazil itu memastikan JDT memiliki kelebihan tipis untuk aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Bergson kini meledakkan 14 gol daripada 17 penampilannya bersama JDT musim ini. Beliau turut mencipta satu bantuan gol untuk Harimau Selatan.