Presiden Deportivo Alaves, Alfonso Fernandez de Troconiz tetap percaya bek tengah Harimau Malaya, Facundo Garces tidak bersalah.
Kenyataan itu dibuat beliau apabila diminta mengulas isu hukuman FIFA yang dihadapi bek tengah berusia 26 tahun itu.
De Troconiz menyifatkan isu tersebut merupakan isu peribadi buat Garces dan tiada kena-mengena dengan kelab LaLiga itu.
Pada masa sama, beliau tetap percaya bek tengah itu tidak bersalah dan berharap rayuan memihak kepadanya.
“Pada akhirnya, ini satu isu yang tiada kena-mengena dengan kelab. Ini isu peribadinya tetapi jelas sekali ia memberi kesan kepada kita kerana kita tidak boleh menggunakan khidmatnya.
“Ini satu isu terbuka dan bagi kita, buat masa ini tiada yang berubah sehingga satu ketetapan dibuat.
“Beliau masih memiliki peluang membuat rayuan dan kami akan terus percaya beliau tidak bersalah. Kita lihat apa yang berlaku seterusnya dan kita akan tunggu,” katanya seperti dilaporkan Futbol Fantasy.
Kali terakhir Garces beraksi untuk Alaves ialah aksi liga menentang Getafe pada September lalu.
Terdahulu, rayuan FAM dan tujuh pemain negara termasuk Garces ditolak Jawatankuasa Rayuan FIFA. Ini bermakna hukuman penggantungan 12 bulan dan denda 2,000 Swiss franc (RM10,000) yang dikenakan kepada tujuh pemain dikekalkan.
FAM sudah memaklumkan akan membawa rayuan badan induk itu dan tujuh pemain negara ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).