Pengendali interim Selangor FC, Christophe Gamel mengakui muak melihat anak buahnya melakukan kesilapan mudah dalam beberapa perlawanan terakhir pasukan itu.
Ini selepas beliau melihat kesilapan tersebut membantu Sabah FC mengikat Selangor 2-2 dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA.
Selepas ketinggalan menerusi gol Ajdin Mujagic pada babak pertama, Selangor bangkit mendahului menerusi gol sendiri Dane Ingham dan Nooa Laine.
Walau bagaimanapun, gol minit akhir penyerang Bosnia-Herzegovina itu memastikan kedua-dua pasukan terikat menjelang aksi timbal balik di Stadium MBPJ.
Gamel mengakui merasa marah melihat anak buahnya melakukan kesilapan mudah ketika bertahan. Beliau percaya kesilapan sebegini memberi kerugian kepada Selangor.
“Saya rasa muak melihatnya. Dari segi pertahanan, kita membuat kesilapan mudah sekali lagi. Saya makin bosan dengan perkara tersebut.
“Saya mahu beri masa kepada diri saya untuk memikirkan perkara ini pada masa akan datang,” katanya selepas perlawanan.
Ini bukan kali pertama kesilapan sebegini menghukum Selangor. Kesilapan sama turut mengakibatkan pasukan gergasi Lembah Klang itu tewas 3-2 kepada Persib Bandung dalam saingan ACL2 baru-baru ini.
Selepas ini, Selangor akan turun menentang Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) pada 22 November ini.