Negeri Sembilan Sedia Pelan Alternatif Buat Alex Agyarkwa
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Negeri Sembilan FC memiliki pelan alternatif seandainya Alex Agyarkwa dipanggil kembali Selangor FC.

Perkara ini dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sang Rusa, Faliq Firdaus apabila ditanya tentang kemungkinan tersebut.

Faliq memaklumkan pengurusan Negeri Sembilan mengambil kira senario itu dalam tetingkap kedua perpindahan Liga Super pada Januari tahun hadapan.

Justeru, pengurusan Sang Rusa telah membuat senarai pendek beberapa pemain berpotensi sebagai pengganti Agyarkwa jika beliau dipanggil kembali ke Merah Kuning.

“Kita pun ambil maklum juga dengan kemungkinan Alex (Agyarkwa) dipulangkan dan sebagainya. Jadi, kita sudah ada pelan B untuk atasi situasi itu,” katanya.

Faliq ditemui media selepas Majlis Pengumuman Mills Sebagai Rakan Strategik Kasut Rasmi Terengganu FC untuk musim 2025/2026.

Beliau turut mendedahkan keutamaan Negeri Sembilan dalam tetingkap kedua perpindahan ialah memperkuat bahagian pertahanan dan tengah.

“Saya boleh sahkan akan ada aktiviti perpindahan pada Januari. Kita pun sudah mula buat senarai pendek pemain berpotensi terutama di bahagian pertahanan dan tengah kita.

“Insya Allah, ada perkembangan terkini, kita akan maklumkan tidak lama lagi,” ujarnya lagi.

Agyarkwa menyertai Sang Rusa secara pinjaman pada awal musim 2025/26. Beliau menjadi pujaan penyokong Negeri Sembilan kerana bijak mengemudi jentera tengah pasukan itu.

Agyarkwa telah merekodkan lapan penampilan, satu gol dan tiga bantuan gol bersama Sang Rusa setakat ini.