Peter Cklamovski Kongsi Status Terbaru Jordan Mintah
MakanBola
Malaysia NT

Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski memaklumkan Jordan Mintah semakin hampir membuat penampilan di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, Cklamovski tidak dapat menurunkan penyerang Kuching City FC untuk dua aksi antarabangsa menentang Laos pada Oktober lalu.

Ini kerana proses dokumentasi membabitkan Mintah masih belum selesai. Selagi proses tersebut masih berjalan, beliau perlu menunggu untuk membuat penampilan bersama Harimau Malaya.

Kini, Cklamovski memaklumkan Mintah semakin hampir beraksi buat skuad negara. Bekas jurulatih FC Tokyo itu menyatakan proses dokumentasi penyerang berusia 30 tahun itu kini berada di peringkat akhir.

“Saya difahamkan, ya. Ia memerlukan sedikit kertas kerja yang perlu dimuktamadkan. Ia kini di peringkat akhir.

“Harapnya beliau ada untuk pemilihan untuk perlawanan (menentang Nepal),” katanya kepada media.

Sekiranya semuanya berjalan lancar, Mintah bakal menjadi pemain naturalisasi terbaru menyarung jersi Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.

Berita ini juga dilihat memberi kelegaan kepada Cklamovski untuk jentera serangan skuad negara. Ini selepas beliau terpaksa melupakan khidmat Romel Morales akibat masalah kecederaan.

Selain Mintah, Cklamovski turut memilih dua pemain Kuching City dalam skuad kali ini. Dua pemain tersebut ialah Haziq Nadzli dan Ramadhan Saifullah Usman.