Jurulatih Thailand Puji Kualiti Bintang Selangor
MakanBola
Selangor FC

Jurulatih interim Thailand, Anthony Hudson menyifatkan bintang Selangor, Kevin Deeromram memiliki kualiti untuk membantu pasukan itu.

Hal ini dinyatakan beliau apabila ditanya sebab bekas pemain pertahanan Port FC itu dipanggil dalam kem Thailand kali ini.

Hudson menyifatkan Kevin bukan saja memberi keseimbangan di bahagian kiri. Malah, bek kiri berusia 28 tahun itu juga mampu membawa ancaman di bahagian serangan.

“Apabila saya melihat Kevin dan apa yang saya lihat pada musim lalu. Saya melihat beliau (beraksi) bersama Selangor.

“Kita mahu menjadi pasukan yang menyerang. Beliau memberi kita keseimbangan dan seseorang yang memiliki hantaran (yang bagus).

“Beliau memiliki hantaran yang bagus dan mencipta kesinambungan ketika menyerang. Inilah kualiti yang saya mahu,” katanya seperti dilaporkan SNE Sports.

Kevin menjadi sebahagian daripada 24 pemain yang dipanggil Hudson untuk dua aksi antarabangsa bulan November.

Bek kiri Merah Kuning itu berpeluang menambah penampilan di peringkat antarabangsa bila Thailand menentang Singapura pada 13 November. Ini disusuli aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Sri Lanka pada 18 November.