Media Vietnam Letak ‘Harapan’ Tinggi Buat Malaysia
MakanBola
Haniff Che Mohamad/MakanBola

Media Vietnam meletakkan harapan tinggi terhadap skuad Malaysia.

Saingan Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 kini memasuki perlawanan kelima kumpulan dengan Harimau Malaya menduduki tangga teratas dengan 12 mata – 3 mata terpisah dengan Vietnam.

Skuad kebangsaan bakal melayan tentangan pasukan ke-180 dunia, Nepal di laman sendiri sementara Vietnam bakal berkunjung ke Vientienne untuk bertemu Laos, masing-masing pada 18 November 2025.

Laporan daripada media Vietnam iaitu VietnamNet meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk melihat Bintang Pahlawan Emas memintas kedudukan Malaysia dalam Kumpulan F.

Hal ini selepas Harimau Malaya menurunkan tujuh pemain warisan yang kini berdepan hukuman tatatertib oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Pasukan kebangsaan Malaysia boleh dikenakan kekalahan 0-3 berhubung skandal pemalsuan dokumen dan itu membolehkan Vietnam mendapatkan tiket ke pentas Piala Asia 2027.

“Sungguhpun FIFA telah menolak rayuan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Harimau Malaya masih boleh beraksi tatkala Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) belum mengeluarkan keputusan.

“Walau bagaimanapun, di bawah peraturan disipilin AFC, Malaysia berpotensi tewas 0-3 bagi perlawanan terdahulu (vs Nepal dan Vietnam) kerana menurunkan pemain yang tidak layak,” ujar media Vietnam tersebut.

Sekiranya keputusan ini benar terjadi, Malaysia berpotensi untuk kehilangan enam mata sekali gus hilang posisi teratas kumpulan.