Tonggak JDT & Selangor Taruhan Malaysia Hadapi Sukan SEA
UltraSukan
FA Malaysia

Bintang-bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC menjadi taruhan Malaysia menghadapi saingan Sukan SEA 2025 di Thailand.

Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 20 pemain yang dipanggil jurulatih Thailand, Rakhpol Sainetngam.

Rakhpol memilih mengekalkan majoriti pemain yang membantu Malaysia layak secara merit ke Piala Asia Futsal 2026.

Antara nama yang dikekalkan beliau ialah Syahir Iqbal Khan Akbar Khan, Syaifuddin Syukri, Awaluddin Mat Nawi, Ridzwan Bakri dan kapten, Khairul Effendy Mohd Bahrin.

Rakhpol turut memanggil beberapa nama baru untuk skuad kali ini. Antaranya penjaga gol Selangor, Syawal Sabaruddin dan pemain Pahang Rangers B, Muhammad Syahmie Rosli.

Skuad negara bakal menjalani latihan pusat dari 16 November hingga 5 Disember di Arena Futsal FAM. Selepas itu, mereka akan bertolak ke Thailand dari 6 hingga 12 Disember untuk menyambung persiapan di sana.

Malaysia akan membuka kempen acara futsal Sukan SEA dengan menentang Thailand pada 15 Disember. Ini disusuli aksi menentang Vietnam pada 16 Disember.

Skuad negara akan menentang Myanmar pada 17 Disember sebelum menutup kempen dengan menentang Indonesia pada 18 Disember.